Feb 1, 2012

Latar Belakang Sekolah


Pembinaan sekolah yang berasas "Design and Built" telah dimulakan pada 27 Mei 2002 oleh pemaju swasta Opal Development Sdn. Bhd. beribu pejabat di Sg. Buloh, Selangor di atas sekeping tanah Lot 10717 PTD 67717, Johor Bahru, Johor Darul Takzim.

Dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan keluasan tapak pembangunan sebanyak 35,469.7 meter persegi (8,765 ekar), meliputi Bangunan Utama Blok Pentadbiran dan Akademik, Bengkel, Makmal, Surau dan Kuartes Guru 5 tingkat sebanyak 32 unit.

Bangunan yang telah siap sepenuhnya pada bulan Disember 2003 telah dilakukan pra-penyerahannya kepada JPN Johor pada 29 Januari 2004. Sepanjang tempoh tersebut beberapa kerosakan telah dikesan dan pihak pemaju telah diminta untuk membaiki pulih dengan segera sebelum penyerahan rasmi dilakukan.

Pada 8 Mac 2004, majlis penyerahan bangunan sekolah yang lengkap bernilai RM21 juta telah diadakan pada 10:00 pagi dengan kehadiran semua kontraktor yang terlibat bersama-sama wakil JPN Johor, PPD Johor Bahru, wakil sekolah Pembimbing SMK Taman Perling 2 serta Penyelaras SMK Taman Sutera, Tn. Hj. Ab. Karim Bin Yahya dari SMK Taman Universiti.

Seterusnya sekolah yang terdekat iaitu SMK Taman Tun Aminah telah dilantik sebagai sekolah pembimbing. Pengoperasian sekolah telah bermula pada 14 Jun 2004 dengan mula ditadbir oleh Pengetua baru Tn. Hj. Kamaruddin Bin Sa'ayun (Penolong PPD Johor Bahru), GPK 1 Pn. Balwinder Kaur A/P Jagir Singh dari SMK Bandar Baru Uda, GPK HEM Pn. Hjh Sadiah Binti Samian dari SMK Taman Universiti dan GPK Kokurikulum Tn. Hj. Ad. Karim Bin Yahya dari SMK Taman Universiti.

Jumlah pelajar di awal pembukaan sekolah ialah seramai 463 orang yang terdiri daripada Tingkatan Peralihan (81 orang), Tingkatan Satu (148 orang), Tingkatan Dua (169 orang) dan Tingkatan Empat (65 orang). Jumlah tenaga pengajar ialah seramai 25 orang (termasuk pentadbir) serta 6 orang staf sokongan.